Dua penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Pantai menghala ke Pasir Gudang, Johor, pagi tadi.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


DUA penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Pantai menghala ke Pasir Gudang, Johor, 1.45 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, remaja berusia 15 tahun yang menunggang motosikal Honda Wave meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi pemuda 19 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu teksi berusia 38 tahun yang datang dari arah pusat bandar menghala ke Pasir Gudang hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.

"Teksi berkenaan kemudian melanggar tiga motosikal yang dipercayai berhenti di bahu jalan kerana membaiki motosikal mangsa berusia 15 tahun yang rosak.

"Akibat pelanggaran itu, remaja yang juga pelajar berasal dari Taman Scientex, Pasir Gudang itu cedera parah di bahagian tengkuk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang lagi penunggang motosikal SYM berasal dari Taman Cendana, Pasir Gudang, cedera parah di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital," katanya.

Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal Modenas Dinamik patah kaki, manakala pemandu teksi itu sakit di bahagian dada dan kakinya.

Katanya, pemandu teksi berkenaan sudah ditahan dan dibawa ke hospital untuk mengambil sampel darah dan air kencing sebelum ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif Methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 12:48 PM