MAJLIS pernikahan Mawar dan Raf di Hotel Royale Chulan berjalan lancar, semalam.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon, Mawar Rashid, 22, sah bergelar isteri kepada Raf Yaakob atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, dengan sekali lafaz jam 3.20 petang semalam.

Pasangan ini disatukan jurunikah yang juga Imam Masjid Saidina Abu As-Siddiq, Bangsar, Ustaz Mohamad Azri Ahmad Kamil dengan mas kahwin sebanyak RM900 dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, di sini.

Mawar ketika ditemui bersyukur dengan kelancaran majlisnya semalam.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang banyak membantu dalam menjayakan majlis akad nikah hari ini (semalam),” katanya.

Raf yang juga pelakon dan adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkata, mereka memilih tarikh 9 November kerana ia jatuh pada hari Khamis.

Menurut Raf, Allahyarham bapanya Datuk Yaakob Mohammad yang juga bekas Setiausaha Kerja Umno dan Barisan Nasional pernah berpesan, jika ingin mengadakan apa-apa majlis seelok-eloknya diadakan pada hari Khamis.

“Jadi, hari ini (semalam) juga diadakan majlis doa selamat untuk arwah.

Dalam majlis bertemakan tradisional Jawa itu, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid memberi sembilan dulang hantaran kepada pengantin lelaki dan dibalas dengan tujuh dulang.

Majlis akad nikah itu dimeriahkan dengan kehadiran 500 tetamu termasuk keluarga, rakan-rakan serta media.

Majlis resepsi kedua-dua belah pihak akan diadakan dalam satu majlis pada 1 Disember depan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 11:43 AM