MANGSA banjir membawa tilam yang diterima di pusat pemindahan sementara di Seberang Perai Tengah, semalam. FOTO Bernama
BERNAMA

SEJUMLAH 3,213 mangsa banjir daripada 802 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di dua daerah di Pulau Pinang hingga pagi ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir berkata, jumlah itu semakin berkurangan berbanding 3,736 mangsa banjir daripada 936 keluarga pada malam tadi.

"Kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 26 pusat pemindahan melibatkan 18 di SeberangPerai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) pula di lapan pusat pemindahan sementara," katanya di Georgetown, hari ini.

Katanya, di SPU 2,528 mangsa daripada 589 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan manakala di SPT sejumlah 685 mangsa membabitkan 213 keluarga.

Hingga pagi ini beberapa kawasan masih dinaiki air antaranya Lahar Yooi, Padang Menora, Nyior Sebatang dan Air Melintas Besar berikutan hujan semalam.

Keadaan cuaca di Pulau Pinang pagi ini cerah.

Ketika ini, ratusan sukarelawan berada di Pulau Pinang untuk membantu membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir kilat bagi membolehkan mereka kembali ke kediaman masing-masing.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lalu yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini itu telah meragut tujuh nyawa.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kedah pagi ini kekal 213 mangsa daripada 56 keluarga di satu lagi pusat pemindahan di Pendang.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri, Leftenan Kololen (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, Dewan Rakan Sukan itu dijadikan pusat penempatan mangsa banjir dari mukim Ayer Puteh, Padang Pusing, Guar Kepayang dan Bukit Raya.

"Pusat pemindahan itu mula dibuka pada 5 November lalu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini sedang dalam misi bantuan pasca banjir bagi membantu membersihkan rumah penduduk di kawasan terjejas banjir baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 11:22 AM