KEADAAN Kampung Kebun Baru, Sungai Durian yang dinaiki air.
HM Digital

Johor Bahru: Sebanyak lapan keluarga membabitkan 35 penduduk di Kampung Kebun Baru, Sungai Durian dan Kampung Sungai Buntu, Penerok, Pontian melalui saat getir apabila rumah mereka dinaiki banjir kilat setinggi 0.3 meter akibat air pasang besar dan hujan lebat pada jam 1 tengah hari, semalam.

Bagaimanapun air surut di semua tujuh rumah berkenaan kira-kira dua jam kemudian dan semua mangsa tidak perlu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah mereka selamat diduduki.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, buat masa ini tiada PPS dibuka bagi menempatkan semua mangsa kerana banjir sudah surut sepenuhnya.

Katanya, sebaik menerima maklumat air pasang besar setinggi 3.4 meter, sepasukan lima anggota polis, lapan anggota Agensi Pertahanan Awam Malaysia, lima kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran serta ketua masyarakat bergegas ke kampung berkenaan untuk memantau keadaan.

“Hasil siasatan mendapati tiada jalan terputus hubungan dan kejadian berlaku disebabkan hujan lebat serta air pasang besar setinggi 3.4 meter menyebabkan kawasan rendah dinaiki banjir kilat.

“Sebanyak enam rumah di Kampung Kebun Baru, Sungai Durian dan sebuah rumah di Kampung Sungai Buntu, Penerok, dinaiki air yang setinggi kira-kira 0.3 meter namun banjir sudah surut.

“Pasukan kecemasan masih meninjau keadaan sama ada perlu memindahkan mereka atau tidak dan PPS terdekat sudah bersedia untuk dibuka sekiranya keadaan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, semua agensi kerajaan serta sukarelawan berkaitan bencana sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan akibat perubahan cuaca.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 10:01 AM