ruang menunggu yang bersih dan selesa.
Mohd Wahyuddin Jamil Khair
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Setahun Transit Aliran Massa (MRT) beroperasi, gejala vandalisme dicetuskan pengguna nakal semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.

Tinjauan Harian Metro yang bermula di stesen LRT Bangsar dan bertukar ke laluan MRT Muzium Negara sebelum ke Pusat Bandar Damansara semalam mendapati, laluan yang sering digunakan pengguna bersih dan tiada contengan di mana-mana bahagian di stesen itu, manakala ketika di dalam tren, tinjauan mendapati tiada kesan kerosakan atau calar di mana-mana bahagian dalam tren.

Pengguna MRT, Qistina Balqis Rohaimi, 22, sangat berpuas hati dengan keadaan sekeliling kawasan sekitar MRT pada masa kini.

“Keadaan kawasan sekeliling bersih dan penggunanya yang sentiasa berhemah membuatkan pengguna berasa lebih selesa dan selamat ketika menggunakan perkhidmatan MRT.

“Pengurangan gejala vandalisme jelas menunjukkan masyarakat kini berfikiran matang dan menghargai kemudahan yang diberikan kerajaan,” katanya.

Fasa pertama MRT mula beroperasi pada 16 Disember 2016 merangkumi 12 stesen laluan Sungai Buloh-Kajang, manakala operasi fasa kedua membabitkan laluan Semantan-Kajang dilancarkan pada 17 Julai lalu.

Rakannya, Nurhidayu Othman, 23, berkata, keadaan seperti ini seharusnya dikekalkan untuk generasi akan datang.

“MRT mencerminkan kejayaan dari segi sistem pengangkutan di negara kita, oleh itu gejala negatif membabitkan pengangkutan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Kemudahan yang diberikan ini sewajarnya digunakan dengan sebaiknya kerana pengangkutan seperti ini memberikan manfaat kepada seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategi Prasarana, Lim Jin Aun berkata, Prasarana Sdn Bhd sentiasa komited dalam menangani masalah sosial membabitkan MRT.

“Kami sentiasa mendedahkan masyarakat dengan maklumat dan peraturan tertentu mengenai penggunaan MRT agar perkara ini dapat dielakkan.

“Hal ini secara tidak langsung membawa pengurangan masalah ini di sekitar kawasan stesen MRT dan juga di dalam tren,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 6:50 AM