SEBUAH daripada bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM. (Gambar kecil) Amran. FOTO Ihsan APMM.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 23 nelayan warga Vietnam di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor semalam, kerana menangkap ikan di perairan Malaysia secara haram.

Pada kejadian jam 12.28 tengah hari, nelayan yang ditahan termasuk tekong dan kru berusia 19 tahun hingga 55 tahun yang menaiki dua bot.

Pengarah APMM Daerah Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata, pihaknya mengesan dua bot terbabit ketika meronda perairan berkenaan pada kedudukan 22 batu nautika tenggara Tanjung Sedili.

“Dua bot terbabit menggunakan nama Azam Baru 1 dan Azam Baru 2. Pemeriksaan menemui kira-kira empat tan ikan pelbagai jenis serta dua tan baja ikan dalam bot terbabit.

“Mereka ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut manakala peralatan menangkap ikan, bot serta hasil tangkapan bernilai kira-kira RM450,000 dirampas,” katanya hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati bot itu tidak memiliki lesen menangkap ikan selain beberapa krunya tiada dokumen pengenalan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia.

“Ini tangkapan kesembilan membabitkan bot nelayan asing dilakukan APMM Daerah Tanjung Sedili bagi tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 5:21 PM