Gan (dua kanan) bersama pegawai menunjukkan bateri menara pencawang telekomunikasi serta barangan yang dirampas daripada seorang suspek. Foto L. Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


POLIS menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas lapan bateri menara pencawang telekomunikasi bernilai RM15,000 dipercayai dicuri dari pencawang syarikat telekomunikasi di Taman Bemban Raya, Batu Gajah, semalam.

Dalam kejadian 11.40 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah mengesan suspek di lokasi berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan dijalankannya.

Difahamkan, sebaik menyedari kehadiran anggota, suspek bertindak memecut kenderaannya sejauh 100 meter sebelum terbabas dan cuba melarikan diri ke dalam hutan namun tindakan pantas anggota berjaya menahannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, suspek yang juga mempunyai lesen kontraktor untuk menjalankan pemasangan di menara pencawang telekomunikasi dipercayai sudah berpengalaman dalam bidang pemasangan di pencawang selama 15 tahun.

"Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Sarawak itu hanya mengambil masa kira-kira setengah jam mencuri bateri serta kabel berkenaan disebabkan mempunyai pengalaman dan siasatan awal mendapati dia bukanlah kontraktor dilantik di menara berkenaan.

"Dengan tertangkapnya suspek yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian kabel di daerah berkenaan, polis percaya sudah berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian bateri serta kabel di menara pencawang telekomunikasi di negeri ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Tian Kee berkata, selain merampas kesemua bateri berkenaan di dalam kenderaan dinaikinya, polis turut berjaya merampas peralatan yang digunakannya termasuk 'master key'.

"Hasil siasatan dijalankan juga mendapati suspek mencuri bateri berkenaan untuk dijual dan hasil ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif methampetamin serta mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Suspek direman bermula hari ini sehingga Sabtu manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 4:21 PM