TRAN Xuan (kiri, baju putih) didenda RM50,000 dan 17 awak-awak Vietnam didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan Malaysia, Julai lalu. FOTO Muhamaad Razis Ismail.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


TEKONG bot warga Vietnam didenda RM50,000 manakala 17 awak-awak didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, selepas didapati bersalah menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan Malaysia, Julai lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhi hukuman itu selepas tekong, Tran Xuan Dung, 38, dan 17 awak-awak berusia 22 tahun hingga 50 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Vietnam.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Ahmad Bazli turut memerintahkan bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama di atas bot penangkapan ikan asing menangkap ikan laut di perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran di jarak 97.6 batu nautika, dengan daratan terhampir di Bachok, jam 1.35 tengah hari, 20 Julai 2017.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 (akta 317) dibaca bersama Seksyen 24(1) akta sama dan dihukum di bawah Seksyen 25(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta setiap tuan punya dan nakhoda dan RM100,000 kepada setiap kru.

Berdasarkan fakta kes, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sedang menjalankan rondaan Op Khas menahan bot nelayan terbabit.

Pemeriksaan mendapati tekong dan awak-awak adalah warga Vietnam. Selain itu, APMM turut menemui peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan seberat kira-kira dua tan.

Semua tertuduh tidak mempunyai permit dan kebenaran Ketua Pengarah Perikanan untuk menangkap ikan di kawasan terbabit.

Terdahulu, semua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum kerana sudah insaf dengan kesalahan dan perlu menyara keluarga di Vietnam.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Nor memohon hukuman setimpal terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira kesalahan tertuduh mencabar kedaulatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:58 PM