Shamsul Amar (kanan) menunjukkan hasil rampasan peralatan makmal selepas menyerbu sebuah rumah di Bandar Botanic.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Klang: Tindakan licik tiga sekeluarga menjadikan sebuah rumah mewah di Bandar Botanic di sini, sebagai makmal mini memproses syabu terbongkar apabila mereka dicekup bersama dua rakan jenayah lain, 2 November lalu.

Difahamkan semua suspek termasuk bapa, anak dan menantu perempuan berusia 18 hingga 53 tahun itu menyewa rumah teres tiga tingkat dengan bayaran RM2,000 sebulan.

Mereka hanya menjadikan kediaman elit itu sebagai markas memproses dadah yang dipercayai diedarkan kepada pasaran tempatan.

Kegiatan haram itu bagaimanapun dihidu pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang menjalankan tiga serbuan di sekitar daerah ini bermula jam 1 tengah hari hingga 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan kelima-lima suspek warga tempatan termasuk seorang wanita itu dilakukan menerusi hasil maklumat dan risikan pihaknya.

“Penahanan pertama membabitkan empat individu termasuk pasangan suami isteri dan bapa mereka di sebuah kedai makan di Pandamaran.

“Ia membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di Taman Sejati dan penemuan sebuah makmal haram memproses dadah di sebuah rumah di Bandar Botanic pada hari sama,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut beliau, selain pelbagai peralatan memproses syabu, polis merampas 100 gram dadah dan 3.8 kilogram minyak methampethamine (meth oil) membabitkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM110,000.

“Kami menyita barangan bernilai RM450,000 membabitkan empat kereta, empat cincin dan sejumlah wang tunai untuk tindakan lanjut,” katanya memaklumkan rampasan narkotik terbesar pihaknya tahun ini.

Kata Amar, semua suspek termasuk tiga yang didapati positif dadah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh termasuk mengenal pasti punca bekalan bahan untuk memproses dadah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:24 AM