AIZAM dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
HM Digital

Kuala Terengganu: Ibu tunggal anak satu yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes curi dan menipu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam kerana mencuri barangan dan perabot rumah yang disewanya pada September lalu.

Tertuduh, Aizam Abd Aziz, 44, dari Kuala Terengganu di sini, mengangguk faham sebelum mohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta dengan curang dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh didakwa mengambil lima unit penyaman udara, dua katil dan tilam, mesin basuh, peti sejuk, set meja makan, kabinet televisyen, televisyen, sofa bentuk L, dua set meja tepi, seterika dan papan penggosok, tong gas, 13 bantal dan pelbagai jenis peralatan dapur milik Sharifah Salwa Syed Shafie, 43, tanpa kebenaran.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah yang disewanya di Taman Semarak Bukit Tunggal di Kuala Nerus, jam 11 pagi pada 30 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan sebat serta didenda jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Abdul Hayyi kemudian menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pemilik butik menanggung kerugian hampir RM30,000 apabila pelbagai barangan elektrik dan perabot rumahnya di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus dilarikan penyewanya.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, janda anak satu bersama seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai teman lelakinya ditahan.

Siasatan polis juga mendapati wanita terbabit antara individu dikehendaki selepas disyaki terbabit dalam jenayah curi dalam bangunan dan menipu di beberapa negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:16 AM