Mangsa maut di lokasi kejadian selepas digilis lori muatan kelapa sawit.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my

PENUNGGANG motosikal maut selepas digilis lori muatan kelapa sawit di Jalan Keningau - Sook, Keningau, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Matnih Majid, 64, pesara kerajaan maut di lokasi kejadian akibat parah seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, penunggang motosikal dan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bergerak dari arah pekan Keningau menuju ke Sook.

"Ketika pemandu Toyota Hilux berhenti kerana kenderaan dihadapan berhenti, motosikal yang ditunggang mangsa melanggar belakang Toyota Hilux.

"Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke lorong sebelah kanan lalu digilis tayar belakang lori dari arah bertentangan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Keningau.

"Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat parah seluruh badannya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:45 AM