Kakitangan polis membuang barang yang rosak akibat banjir kilat yang berlaku di Kuarters Perumahan Polis Farlim FASA 1, Bandar Baru, Air Itam. FOTO Mikail Ong
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


BIARPUN Pulau Pinang bukan di bawah seliaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), namun agensi itu turut menghulurkan bantuan bagi kerja pembersihan sampah dan sisa pepejal kesan daripada banjir yang melanda negeri itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, negeri berkenaan melaksanakan sendiri pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam serta tidak menandatangani Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Saya bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam dan hari ini, beliau turut menghubungi saya berkenaan bantuan yang boleh dilakukan pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Justeru, SWCorp menghantar pasukan terdiri daripada 40 tenaga kerja selain mesin, peralatan dan lori untuk melakukan tugas pembersihan di kawasan Seberang Perai Utara manakala pihak kerajaan negeri akan melaksanakan kerja di bahagian pulau," katanya pada sidang media Majlis Sambutan Hari Inovasi KPKT 2017 di Putrajaya, hari ini.

Berdasarkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), ia dikuatkuasakan di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu, Kelantan serta Labuan.

Dalam pada itu, Noh berkata, kerja yang dilaksanakan pasukan SWCorp adalah secara sukarela dalam usaha membantu mangsa yang menghadapi kesusahan akibat banjir berkenaan.

"Kita perlu mengenepikan fahaman politik dan yang penting saling bekerjasama bagi meringankan beban mangsa banjir," katanya.

Selain itu, beliau berkata, seramai 1,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia ada di Pulau Pinang dan jumlah itu ditambah dengan 30 lagi anggota dari Perak.

Sementara itu, Noh berkata, semua negeri diminta mengambil kira pandangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMALAYSIA) sebelum pembangunan projek dijalankan bagi memastikan kejadian tidak diingini.

"Jabatan berkenaan akan memberikan komen dari segi perancangan jadi, semua negeri boleh meminta pandangan daripada PLANMALAYSIA supaya tidak berlaku kejadian seperti tanah runtuh atau banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 6:22 PM