Ismail (dua kiri) dan Prof Amran (dua kanan) menyaksikan penyerahan dokuman MoU antara IRDA dan SCC  bagi melaksanakan komponen Bandar Pintar di bawah CDPii, diwakili Daniel (kanan) dengan Khaidzir. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


BAGI merealisasikan wilayah Iskandar Malaysia sebagai bandar pintar, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menjalin kerjasama dengan sebuah konsortium Hong Kong.

Kerjasama dengan Konsortium Bandar Pintar Hong Kong (SCCHK) itu membabitkan penambahbaikan, menaik taraf dan pembangunan infrastruktur baru perbandaran serta piawaian kualiti bagi operasi dan penyelenggaraan.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, kerjasama yang dijalinkan itu adalah bagi memastikan pembangunan koridor ekonomi berkenaan dapat dilaksanakan dan ditransformasikan menjadi sebuah bandar pintar selaras dengan Pelan Pembangunan Komprehensif ii 2014-2025 (CDPii).

“Melalui kerjasama ini, ia membolehkan SCCHK menghubungkan syarikat inovatif di Malaysia dan negara itu dalam melaksanakan projek berkaitan bandar pintar di seluruh dunia, selain memberi ruang kepada syarikat baru menerusi platform bandar pintar di pasaran tempatan dan Hong Kong.

"Ia sekali gus dapat mempromosikan Hong Kong sebagai hab perdagangan bebas bagi pembiayaan serta menggalakkan pelaburan kedua negara untuk membentuk bakat dan usahawan bagi menyokong pembangunan bandar pintar," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara IRDA dan SCCHK bagi melaksanakan komponen bandar pintar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Bersama Majlis Penasihat Futuristik Iskandar Malaysia (FIMAC), Prof Amran Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Kajian dan Pelan Pembangunan SCCHK, Daniel Chun; Naib Presiden Kanan, Urban Observatory IRDA, Khaidzir A Rasip dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Pada majlis itu juga, turut dilancarkan laman web FIMAC yang menjadi momentum ke arah menjadikan Iskandar Malaysia sebuah bandar pintar.

Menurut Ismail, penubuhan FIMAC membabitkan sekumpulan badan profesional, agensi kerajaan, ahli akademik serta penyedia perkhidmatan teknologi serta pelabur sektor ekonomi di Iskandar Malaysia.

Beliau berkata, mesyuarat pertama majlis itu diadakan pada November 2016 dan jumlah ahlinya kini sudah meningkat kepada 70 organisasi berbanding 30 sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:26 PM