Aizam mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mencuri barangan dan perabot rumah disewanya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


IBU tunggal anak satu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan mencuri barangan dan perabot rumah yang disewanya pada September lalu.

Tertuduh, Aizam Abd Aziz, 44, dari Kuala Terengganu, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menggunakan lima unit penyaman udara, dua katil dan tilam, seunit mesin basuh, seunit peti sejuk, satu set meja makan, satu unit kabinet televisyen, sebuah televisyen 29 inci, sebuah sofa L-Shape, dua set meja tepi, satu set seterika dan papan penggosok, seunit tong gas, 13 unit bantal dan pelbagai jenis peralatan dapur milik Sharifah Salwa Syed Shafie, 43.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah yang disewanya di Taman Semarak Bukit Tunggal, Kuala Nerus, 11 pagi pada 30 September lalu.

Bagi kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat serta dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pemilik butik menanggung kerugian hampir RM30,000 apabila pelbagai barangan elektrik di rumahnya di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, dilarikan penyewanya.

Susulan laporan dibuat mangsa, seorang ibu tunggal anak satu bersama seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai teman lelakinya ditahan.

Siasatan mendapati wanita terbabit antara individu dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam jenayah curi dalam bangunan dan menipu membabitkan beberapa kontinjen negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 3:35 PM