CALON SPM 2017 menduduki peperiksaan di SMK Tun Fuad Stephens Kiulu. (Gambar kecil) Jueita. FOTO Lano Lan
Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my


KEPERITAN setiap hari berjalan sejauh enam kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Mantaranau, Kiulu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu, menjadi pembakar semangat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, yang bermula hari ini.

Jueita Jerry, 17, teruja dan tidak sabar menjawab soalan walaupun meredah perjalanan jauh bagi memastikan dapat membuat persediaan yang lengkap untuk menduduki peperiksaan .

Jueita anak kelima daripada enam beradik berkata, dia tidak perlu risau berjalan dalam keadaan gelap seawal 5.30 pagi kerana ditemani pelajar sekampung iaitu empat calon SPM dan empat lagi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Keadaan berjalan sejak sekolah rendah itu juga menyebabkan kami tidak berehat sepanjang perjalanan dan biasa menjalani sukan lasak seperti acara pecut, berlari atau maraton," katanya ketika ditemui.

Jueita yang meminati subjek matematik bercita-cita menjadi akauntan pada masa hadapan dan mahu mengubah taraf keluarga bagi membantu kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai petani.


HARRY (kiri) dan Hariena antara pelajar menduduki peperiksaan SPM di SMK Tun Fuad Stephens Kiulu. FOTO Lano Lan

Sementara itu, berbeza dengan dua kembar tidak seiras, Hariena James dan Harry James dari Kampung Natai, Telipok apabila menjadi tumpuan guru dan pelajar lain.

Hariena merupakan anak keenam manakala Harry anak ketujuh daripada sembilan beradik itu tidak berada di kelas peperiksaan sama kerana subjek elektif berlainan dipilih sejak tahun lalu.

"Saya mengambil kelas aliran sastera manakala adik saya, Harry, aliran sains pertanian.

"Walaupun kelas berbeza, saya dan adik kerap belajar bersama di asrama San Damiano, Kiulu," katanya yang akan meraikan hari jadi mereka pada 18 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 8:22 PM