Keadaan bengkel tempat kereta yang hilang ditemui. Gambar kecil kiri keadaan kereta yang sudah dileraikan manakala gambar kecil kanan keadaan kereta yang asal sebelum hilang. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my


KEHILANGAN sebuah Perodua Viva yang diletakkan berhampiran sebuah bank di bandar Jertih terjawab apabila ia ditemui di sebuah bengkel membaiki kereta di Kampung Gong Bayor, Besut, Sabtu lalu.

Ketika ditemui dalam Ops Lejang yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 7 malam, kereta yang dilaporkan hilang minggu lalu itu ditemui dalam keadaan komponennya sudah dileraikan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, susulan itu, pihaknya menahan enam suspek berusia 19 hingga 43 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini selepas dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, tiga lelaki berusia 19 hingga 39 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja.

Menurutnya, hasil soal siasat, polis menemui pelbagai barangan kes termasuk motosikal Honda EX5 hitam serta Perodua Viva yang dilaporkan hilang.

“Susulan penemuan barang kes berkenaan, polis kemudian menahan tiga lagi suspek berusia 29 hingga 43 tahun di sekitar daerah ini dan turut merampas lima pil disyaki dadah diletakkan dalam dua tiub penyedut minuman,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati empat daripada enam suspek itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan pencerobohan.

“Hsil ujian saringan awal kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A, Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 4:37 PM