Anggota polis mengiringi dua tertuduh (baju lokap ungu) yang dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my

DUA buruh dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan, bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman kepada tertuduh Ahmad Faiz Abdul Kadir, 26, dan Wan Muhammad Fadhli Wan Zainudin, 22, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Kuek Bee Koon, 16, dengan mengambil telefon bimbit Samsung Win 2 bernilai RM1,000 di hadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa pada 5 petang, 17 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa sedang berjalan di hadapan sekolah berkenaan, dia didatangi dua lelaki menaiki motosikal dan seorang daripadanya bertindak turun serta meragut telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua lelaki itu berjaya ditahan pada 26 Oktober lalu.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad yang memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan itu amat serius.

Katanya, mangsa mengalami trauma akibat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 1:26 PM