Ayub (tengah) bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Shahruddin Sharif (tiga dari kiri) beramah mesra dengan calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru selepas menjawab peperiksaan Bahasa Melayu kertas satu pagi tadi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Omar Ahmad
am@hmetro.com.my


ENAM calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Orang Asli dari Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Johor terpaksa dibawa ke pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah menggunakan pacuan empat roda milik seorang guru akibat banjir, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, dua pelajar lelaki dan empat perempuan itu terpaksa dibawa menggunakan kenderaan guru berkenaan selepas jalan menghubungkan rumah mereka dengan sekolah ditenggelami banjir.

Beliau berkata, sebelum itu, ibu bapa calon memaklumkan kepada guru yang jalan berkenaan tidak boleh dilalui kenderaan akibat ditenggelami banjir.

“Kampung itu tidak banjir tetapi jalan masuk ditenggelami air menyebabkan mereka terputus hubungan.

“Mereka antara 243 calon yang menduduki SPM di SMK Gelang Patah.

“Seorang guru mengambil inisiatif membawa semua pelajar terbabit menggunakan kenderaan miliknya supaya mereka boleh menduduki peperiksaan,” katanya pada sidang media selepas melawat SMK Sultan Ismail, Johor Bahru.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kesulitan dihadapi calon SPM termasuk melaksanakan Ops Payung membabitkan calon SPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 12:31 PM