Calon cacat penglihatan menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching, hari ini. Foto NADIM BOKHARI
Ekhwan Haque Fazlul Haque
am@hmetro.com.my

ENAM pelajar cacat penglihatan antara 286 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang di Kuching, hari ini.

Semua calon mula berkumpul di kawasan dewan peperiksaan seawal 7 pagi sebelum menduduki kertas Bahasa Melayu 1.

Bagi Sandra Tiong, 18, kekurangan yang dimilikinya bukan penghalang untuk dirinya berjaya seperti insan normal.

Gadis yang hilang penglihatan beberapa hari selepas dilahirkan itu berazam untuk cemerlang dalam semua subjek yang didudukinya.

"Kekurangan bukan penghalang asalkan kita sanggup berusaha untuk berjaya dan setanding dengan insan normal.

"Saya berterima kasih kepada guru dan rakan yang tidak jemu memberi tunjuk ajar serta membantu dalam mengulangkaji pelajaran," katanya yang berasal dari Kapit, sebuah daerah di pedalaman Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Maadon berkata, seramai 37,092 calon menduduki peperiksaan SPM 2017 di seluruh negeri.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 34,544 adalah calon di SMK, manakala 1,083 calon sekolah menengah swasta dan 1,454 calon persendirian.

"Sepanjang peperiksaan dijalankan, sebanyak 263 pusat peperiksaan dibuka dan diselia oleh 272 penyelia bersama 2,087 pengawas peperiksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 12:08 PM