ANGGOTA bomba memantau keadaan di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang ketika fenomena air pasang besar, semalam.
Faliq Lajim dan Mohd Shukor Amin
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Berlaku limpahan air tidak serius di beberapa kawasan pesisiran pantai di negeri ini berikutan fenomena air pasang besar, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, Pelabuhan Klang mencatatkan ketinggian paras air laut 5.6 meter jam 6.31 pagi, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, di lokasi lain keadaan selamat dan terkawal.

“Setakat ini ban dan benteng di Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang kukuh dan berada dalam keadaan baik.

“Tiada penempatan terjejas yang memerlukan pemindahan,” katanya.

Begitupun katanya, pasukan bomba sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, empat lokasi di Sabak Bernam turut dikesan mengalami limpahan air minimum, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohd Khairuddin Md Som berkata, empat lokasi itu ialah di Benteng Sungai Apong, Dataran Pantai Batu 23 Sungai Nibong, Bagan Sekinchan dan jalan berturap berhadapan Pintu Air Sungai Besar.

Menurutnya, pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan terbabit mendapati air naik jam 4.50 pagi.

“Namun keadaan kembali pulih sebaik air pasang beransur surut kira-kira sejam selepas itu,” katanya.

Mohd Khairuddin yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, fenomena air pasang yang berlaku sejak dua hari lalu tidak menjejaskan kawasan penempatan penduduk khususnya di lokasi berisiko tinggi.

Katanya, pemantauan JPS mendapati ban laut di pesisir pantai di daerah itu kukuh selain tiada ban dilaporkan pecah.

“Kami dan JPS akan terus melakukan rondaan 24 jam bagi memantau keadaan dan mengambil langkah perlu menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

“Semua agensi diletakkan dalam keadaan siap-siaga jika pusat pemindahan dibuka.

“Penghulu dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberi tanggungjawab sebagai pemberi maklumat pertama kepada agensi berkaitan di kawasan berisiko,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 11:48 AM