Budak lelaki tujuh tahun yang maut terjatuh dari tingkat enam di Pandan Jaya, semalam. - Foto Ihsan Pembaca
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


KANAK-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut terjatuh dari tingkat enam rumahnya di Kondo Bayu, Pandan Jaya, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, mangsa yang parah di kepala, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Ampang.

Menurutnya, ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana keluar bekerja dan kanak-kanak itu bersama kakaknya berusia 10 tahun, dijaga ibu saudara berusia 29 tahun.

"Siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bermain dengan kakaknya di balkoni berhampiran ruang tamu dan dia dikatakan tiba-tiba memanjat pagar balkoni lalu terjatuh," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 4:20 PM