BANJIR kilat berlaku akibat hujan lebat sejak tengahari semalam di sekitar Jalan Terengganu dan Jalan P Ramlee, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
Siti Fatimah Mohamed Anwar
am@hmetro.com.my


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang akan memastikan semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terbabit dalam bencana banjir tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan itu, esok.

Pengarah Pendidikan Negeri Shaari Osman berkata, pihaknya menerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan SPM yang dianggotai pelbagai agensi sudah bersiap siaga bagi menghadapi bencana alam berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan supaya tiada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negeri ini digunakan sebagai pusat pemindahan untuk menempatkan mangsa banjir.

"Setakat ini, hanya sebuah SMK sahaja iaitu di Teluk Kumbar digunakan sebagai pusat pemindahan banjir. Kita sudah minta kerjasama semua pihak supaya menggunakan Sekolah Kebangsaan bagi tujuan berkenaan.

“Kita juga akan pastikan calon SPM yang terbabit dalam kejadian banjir mendapat bantuan untuk ke pusat peperiksaan," katanya.

Shaari berkata, sekiranya calon SPM berhadapan masalah untuk ke pusat peperiksaan didaftarkan, mereka boleh menjadi calon tumpangan di mana-mana sekolah berdekatan.

"Kita akan pastikan setiap calon SPM yang berada di pusat pemindahan banjir mendapat akses mudah untuk ke pusat peperiksaan selain memastikan tiada tercicir disebabkan bencana alam ini.

"Sementara itu, calon di sekolah terjejas banjir seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki) dan SMK Seri Mutiara tidak perlu bimbang kerana peperiksaan masih boleh dijalankan memandangkan dewan peperiksaan adalah di tingkat atas sekolah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap calon SPM di negeri ini dapat menjawab soalan dengan tenang walaupun timbul ketidakselesaan susulan bencana alam berkenaan.

Hujan lebat berterusan lebih 17 jam sejak 12 tengah hari semalam memburukkan lagi keadaan banjir yang melanda negeri ini.

Air naik mendadak turut melumpuhkan sebahagian besar kawasan di Georgetown dan Seberang Perai termasuk menyebabkan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang serta kesesakan lalu lintas luar biasa di negeri ini.

Berita berkaitan:

Pulau Pinang lumpuh

Warga emas lemas dalam banjir

Tragedi rumah dihempap pokok tumbang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 12:02 PM