Antara peserta yang menyertai Larian Amal Pink Wig-Thon. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Hafizudin Mohd Safar
am@hmetro.com.my


SERAMAI 700 peserta berlari sejauh 5.5 kilometer sambil memakai rambut palsu merah jambu sebagai tanda sokongan terhadap pesakit kanser sempena Larian Amal Pink Wig-Thon anjuran Yayasan Amal Tengku Hajjah Budriah Perlis (YATHBP) di Arau, hari ini.

Bendahari Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis, Datin Seri Sharifah Hishmah Shahabudin berkata, program mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai pelbagai peringkat umur meliputi kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

"Kami bersyukur program berjalan lancar dan walaupun hujan sejak awal pagi semua peserta tetap meneruskan program dan berjalan sejauh 5.5 kilometer di sekitar bandar Arau.

"Hujan ini satu rahmat khasnya buat pesakit kanser memandangkan jumlah akhir penyertaan melebihi 700 orang dan jumlah dana yang berjaya dikumpul sebanyak RM200,000 termasuk yuran penyertaan larian RM56,000," katanya.

Beliau berkata, program larian amal Pink Wig-A-Thon itu julung kali diadakan di Perlis dan ketiga di peringkat kebangsaan.

Acara ini turut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut bersama peserta berjalan mulai 8 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 6:23 PM