Siti Zubidah menunjukkan kesan pembedahan di belakang Muhammad Aqil Darwish yang mempunyai masalah jantung terbalik di Taman Sepadu, Tasek Gelugor. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


USIANYA baru tiga tahun namun seorang kanak-kanak di Tasek Gelugor terpaksa menanggung ujian berat kerana dilahirkan dengan jantung terbalik dan perlu menjalani pembedahan membabitkan kos RM90,000.

Muhammad Aqil Darwish Mohamad Yusri, anak bongsu daripada empat beradik dikesan mempunyai masalah jantung sejak dilahirkan dan menjalani pembedahan pertama bagi memasukkan tiub ketika berusia 27 hari.

Ibunya, Siti Zubidah Muhammad, 39, dari Taman Sepadu, berkata, tiub yang dipasang kali pertama tidak mampu lagi menyalurkan oksigen ke jantung anaknya menyebabkan pembedahan kedua perlu dilakukan di Hospital Gleneagles, Pulau Pinang.

"Pembedahan dianggarkan membabitkan kos RM90,000 tetapi kami mempunyai masalah kewangan kerana hanya bergantung pada suami, Mohamad Yusri Md Saad, 40, yang bekerja kilang," katanya selepas dikunjungi Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Prai Utara Noor Azura Ahmad.

Menurut Siti Zubidah, anak bongsunya tidak boleh aktif seperti kanak-kanak lain kerana cepat penat selain wajahnya akan bertukar kebiruan.

Selain itu, anak keduanya, Muhammad Aqil Adli, 10, kini bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas diserang sawan ketika berusia empat tahun.

Muhammad Aqil Adli juga hanya meminum susu khas dan RM500 diperlukan sebulan untuk membeli susu berkenaan.

Sementara itu, Shabudin memberi sumbangan peribadi RM10,000 manakala JKM memberi bantuan awal bagi meringankan beban keluarga Siti Zubidah.

Shabudin berkata, beliau akan cuba mendapatkan bantuan dari dari Yayasan Taqwa manakala JKM akan berurusan dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 4:57 PM