Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


KERETAPI Tanah Melayu (KTM) Berhad memaklumkan laluan Kempas Baru-JB Sentral ditutup sementara berikutan berlakunya kegelinciran tren shuttle KTM Intercity No 44 (JB Sentral - Gemas) di Kilometer 747.59 dekat Kempas, Johor Bahru, pada 11.15 malam tadi.

Unit Komunikasi Korporat KTM Berhad dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi KTM Berhad memberitahu kerja baik pulih sedang dijalankan dan dijangka pulih sepenuhnya Isnin ini.

KTM Berhad turut menyediakan bas bagi melancarkan operasi perkhidmatan tren sektor Selatan yang terjejas.

"Penumpang bagi Tren KTM Intercity No 26, Ekspres Timuran, laluan JB Sentral ke Tumpat akan dibawa menggunakan bas dari Stesen JB Sentral ke Stesen Kempas Baru sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren dari Stesen Kempas Baru ke Stesen Tumpat.

"Penumpang Tren KTM Intercity No 27, Ekspres Timuran, laluan Tumpat ke JB Sentral pula akan menggunakan perkhidmatan tren dari Stesen Tumpat ke Stesen Kempas Baru saja dan dibawa menggunakan bas untuk meneruskan perjalanan dari Stesen Kempas Baru ke Stesen JB Sentral,” katanya.

Menurutnya, penumpang Tren shuttle KTM Intercity No 40, No 42 dan No 44, laluan JB Sentral-Gemas pula akan dibawa menggunakan bas dari Stesen JB Sentral ke Stesen Kempas Baru sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren dari Stesen Kempas Baru ke Stesen Gemas.

"Penumpang Tren shuttle KTM Intercity No 41, No 43 dan No 45, laluan Gemas-JB Sentral akan menggunakan perkhidmatan tren dari Stesen Gemas ke Stesen Kempas Baru dan dibawa menggunakan bas untuk meneruskan perjalanan dari Stesen Kempas Baru ke Stesen JB Sentral," katanya.

KTM Berhad berkata, bagi penumpang yang ingin membatalkan perjalanan juga layak mendapat pulangan tambang penuh atau membuat pertukaran tarikh perjalanan bergantung kepada kekosongan tiket.

Katanya, sebarang maklumat lanjut, penumpang boleh menghubungi talian Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-22671200.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 4:48 PM