Periuk kera atau nama saintifiknya Paphiopedilum Callosum yang spesies flora yang biasa kelihatan di Gunung Jerai.
Gunung Jerai Botanical Park menjadi tempat penanaman semula spesies flora yang kian pupus.
Michael menunjukkan orkid spesies Coelogyne Rochussenii yang terdapat di hutan Gunung Jerai.
Muhaamad Hafis dan Nur Syazwana Mansor
am@hmetro.com.my


Yan: Perjalanan ke puncak Gunung Jerai yang mengambil masa 25 minit dengan jarak perjalanan 13 kilometer mendaki jalan sempit yang berliku sebelum sampai ke puncak pasti membuat anda teruja dengan hutan semula jadi yang menghijau.

Gunung Jerai mempunyai ketinggian 1,217 meter dengan suhu antara 19 hingga 24 darjah Celsius menjadikan ia destinasi percutian tanah tinggi unik dan mempesonakan.

Di sini, terdapat kesan sejarah menarik peninggalan Syeikh Abdullah Syeikh Ahmad yang mengIslamkan Maharaja Debar Raja 1 (Sultan Muzaffar Shah) pada 1136 seperti Padang Tok Syeikh dan Telaga Tok Syeikh.

Malah, jika datang ketika sawah padi menguning, ia menjanjikan pemandangan memukau seolah-olah seperti hamparan permaidani yang indah.

Dalam perjalanan ke puncak Gunung Jerai, pengunjung pasti teruja melihat pelbagai tumbuhan sekitar tanah tinggi ini apatah lagi dengan kewujudan pelbagai pokok berusia ratusan tahun.

Malah, faktor muka bumi dan cuacanya juga menyebabkan spesies orkid tumbuh mekar di hutan Gunung Jerai yang satu ketika dulu boleh ditemui dengan mudah berbanding kini apabila ia semakin pupus dikutip individu untuk jualan tanpa menyedari ia tidak sesuai ditanam di kawasan rendah.

Demi memelihara dan memulihara spesies orkid yang semakin terancam itu, maka wujud Gunung Jerai Botanical Park yang diusahakan oleh Michael HC Oii secara sukarela kerana minat mendalam terhadap orkid selain ingin menjaga khazanah alam itu daripada pupus.

Michael berkata, Gunung Jerai sangat unik dan sama seperti Gunung Kinabalu kerana ia tidak bersambung dengan banjaran lain dan banyak menyimpan khazanah alam.

“Gunung Jerai pada 1970-an amat berbeza dengan sekarang kerana ketika itu spesies orkid di sini sangat banyak dan masih tidak terusik.

“Boleh dikatakan ketika itu setiap langkah di dalam hutan kita akan terpijak spesies orkid kerana terlalu banyak, namun sekarang tidak lagi kerana ia semakin pupus,” katanya ditemui di sini.

Menurutnya, faktor penyebab ia semakin pupus apabila pada 1980-an Gunung Jerai mula dibuka kepada orang ramai untuk sektor pelancongan menyebabkan ada yang tertarik dengan kecantikan orkid mengambilnya untuk simpanan dan dijual.

“Mereka tidak tahu pokok dari gunung tidak sesuai ditanam di kawasan rendah kerana cuacanya tidak sama dan saya sangat sedih apabila melihat orkid ini semakin terancam dan berkurangan.

“Atas sebab itu taman ini ditubuhkan lima tahun lalu yang menempatkan pelbagai spesies orkid yang ada di Gunung Jerai dan seluruh dunia yang mana dianggarkan 500 spesies orkid ada di sini,” katanya.

Menurut Michael, penubuhan taman itu atas sokongan Almarhum Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah yang mahu orkid di sini dipulihara supaya tidak pupus.

“Melalu fasa pertama ini saya mendapat peruntukan RM270,000 daripada kerajaan negeri untuk membina taman seluas dua hektar ini bagi menempatkan pelbagai spesies orkid untuk pemuliharaan.

“Selain orkid kita turut menanam pokok lain seperti palma dan setiap spesies orkid ini ditanam secara habitat semula jadi bukan di dalam pasu dan orang ramai tidak perlu masuk ke hutan untuk menikmati keindahan orkid ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, fasa kedua tidak dapat diteruskan kerana menghadapi masalah kewangan dan mengharapkan sokongan kerajaan negeri dalam usaha meneruskan ekspedisi untuk mencari dan mengutip spesies orkid untuk ditempatkan di situ.

“Hal ini penting supaya pemuliharaan orkid ini akan dapat diteruskan tambahan sekarang ada individu yang mengutip dan menjualnya di laman sosial Facebook (FB) untuk meraih keuntungan.

“Mereka yang tidak tahu terus membelinya, malah saya pernah ditanya seorang ‘mak cik’ kenapa orkid dibelinya mati sebelum saya terpaksa memberitahu spesies itu tidak sesuai ditanam di kawasan rendah kerana ia datang dari gunung,” katanya.

Michael juga berharap akan ada kajian lebih mendalam secara saintifik mengenai spesies flora dan fauna di Gunung Jerai kerana berpendapat kajian sedia ada tidak mencukupi.

“Memang ada kajian dibuat namun ia perlu lebih mendalam yang dilakukan secara saintifik dan saya juga mengharapkan sokongan kewangan daripada kerajaan negeri bagi fasa kedua taman ini.

“Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih mendalam mengenai orkid juga boleh melihat di laman FB Gunung Jerai Botanical Park iaitu kita memuat naik gambar orkid dan bila musim orkid ini berbunga.

“Pengunjung boleh datang pada waktu itu untuk melihat. Ada spesies orkid yang hanya berbunga dua tahun sekali dan hanya hidup lima hari serta bermusim dan semua maklumat ini boleh diakses melalui laman FB itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:46 AM