Kanak-kanak lelaki empat tahun yang ditampar guru tadika.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

GURU tadika ditahan polis pada 7.30 malam semalam, di Ibu Pejabat Daerah (IPD)Kajang selepas menampar kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di tadika dekat Sungai Jelok, Kajang Selasa lalu.

Bapa mangsa berusia 29 tahun yang ke pusat asuhan berkenaan untuk mengambil anaknya kira-kira jam 6 petang terkejut selepas dimaklumkan oleh guru besar kanak-kanak itu ditampar sehingga mengalami pendarahan pada telinga.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzafir Mohd Yussof berkata, kanak-kanak berkenaan ditampar kerana tidak mahu menulis.

"Selepas dimaklumkan kejadian oleh guru besar, bapa mangsa membuat pemeriksaan dan mensapati terdapat kesan merah pada kedua-dua telinga dan pipi.

"Bertindak atas maklumat itu, suspek seorang wanita berusia 18 tahun ditahan di IPD Kajang jam 7.30 malam semalam," katanya.

Beliau berkata, wanita berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 9:43 PM