Gambar fail rakyat Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa Thailand pada Mei tahun lalu akibat menjadi ‘keldai dadah’. (Gambar kecil) Hasan. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor di Phnom Penh Kemboja
mohdhelmi@hmetro.com.my


SERAMAI 13 rakyat Malaysia menghuni beberapa penjara di Kemboja selepas mereka dijadikan keldai dadah di negara itu sepanjang tahun ini.

Duta Besar Malaysia di Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek berkata, mereka membabitkan lelaki dan wanita berusia 20 dan 30an diperalatkan sindiket untuk membawa bahan larangan berkenaan.

Katanya, mereka yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh didakwa di mahkamah sebelum disumbat ke penjara sebaik didapati bersalah.

"Semua 13 individu ini dipenjarakan antara tempoh dua hingga tiga tahun. Selain itu ada juga yang dipenjara seumur hidup," katanya pada sidang media bersempena Majlis Perasmian Rangkaian Kedua Hotel Nagaworld milik usahawan Malaysia, Tan Sri Dr Chen Lip Keong di Phnom Penh, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Pelancongan Kemboja, Dr Thong Khon dan hadir sama Chen.

Hasan berkata, kerajaan tidak pernah memeterai sebarang urusan bersama Kemboja untuk membawa pulang banduan terbabit.

"Pada masa sama saya menasihatkan rakyat negara kita jangan terjebak kegiatan yang boleh merosakkan masa depan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan katanya, kerajaan akan melihat beberapa perkara untuk membawa masuk pembantu rumah warga Kemboja selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengambilan tanpa melalui ejen pada Bajet 2018.

"Kita sedia maklum Kemboja antara negara yang mengetatkan pengambilan pembantu rumah warga mereka. Sehubungan itu kerajaan sedang berurusan bagi menyelesaikan masalah terbabit.

"Antara diberi perhatian adalah penyediaan latihan, persetujuan gaji, pengesahan pihak berkuasa negara itu dan sebagainya.

"Masalah ini akan diselesaikan dalam masa terdekat yang dijangka awal tahun depan," katanya.

Keterangan gambar:

Hasan pada sidang media di sebuah restoran di Hotel Nagaworld di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

#kw 13 rakyat Malaysia huni penjara di Kemboja, Hasan Malek

#loc 12.565678999999999, 104.99096299999999

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 8:20 PM