FOTO Hiasan
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memperkenalkan Skim Latihan Kemahiran Giatmara kepada sekolah tahfiz, yang akan memberi nilai tambah dari segi kemahiran kepada pelajar.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perancangan awal mengenai pelaksanaan skim itu sudah ada, tetapi ia akan dibentangkan kepada Kabinet Disember ini untuk menentukan jumlah tahfiz yang akan terbabit dalam skim ini pada peringkat awal, termasuk kosnya terutama dari segi tenaga pengajar.

Sebagai contoh, beliau berkata, latihan berkaitan membuat kek mungkin boleh dibuat di pusat tahfiz berkenaan, tetapi jika membabitkan bidang automotif, pelajar perlu dibawa ke pusat Giatmara dan ia pasti membabitkan kos pengangkutan.

"Inilah yang akan dibincangkan secara terperinci Disember ini. Dari segi bajet kita belum bincang secara terperinci lagi, Insya-Allah kita akan tengok berapa pusat tahfiz yang akan terbabit dalam skim latihan ini kelak.

"Skim ini diperkenalkan kerana kerajaan sudah bersetuju memberi latihan kepada mereka. Jika sekarang mereka menumpukan kepada tahfiz al-Quran semata-mata, tetapi selepas ini Giatmara akan menyediakan latihan.

"Jadi, selain menjadi hafiz, mereka juga akan diberi latihan untuk menjadi tenaga mahir dalam bidang yang akan ditentukan oleh kita nanti mengikut lokasi pusat tahfiz dan Giatmara terdekat," katanya pada sidang media khas mengenai Bajet 2018 di KKLW, Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan bantuan pengajian sebanyak RM3,000 untuk persediaan kepada pelajar Orang Asli yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, tujuannya adalah menggalakkan anak masyarakat Orang Asli meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Seperti Perdana Menteri sentiasa sebut, kita tidak mahu kemiskinan menjadi alasan untuk pelajar Orang Asli tidak meneruskan pendidikan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih separuh daripada peruntukan sebanyak RM9.48 bilion yang diterima kementerian dalam Bajet 2018 akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak bagi pembangunan prasarana, termasuk bekalan elektrik, air, jalan dan lampu jalan kampung.

Katanya, Sabah dan Sarawak akan mendapat peruntukan masing-masing sebanyak RM927.63 juta (23.98 peratus) dan RM1.10 bilion (28.5 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, pengagihan ini menunjukkan kerajaan amat komited untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak, sekali gus menolak tuduhan segelintir pihak yang mendakwa kerajaan meminggirkan negeri berkenaan.

Beliau berkata, dari segi prasarana, RM934 juta diperuntukkan untuk projek jalan luar bandar, termasuk hampir RM500 juta untuk Sabah dan Sarawak; manakala RM672 juta untuk bekalan elektrik termasuk RM620 juta untuk Sabah dan Sarawak membabitkan 10,000 unit rumah luar bandar.

Selain itu, RM420 juta diperuntukkan untuk bekalan air dengan hampir RM300 juta untuk Sabah Sarawak bagi bekalan air bersih kepada 3,000 unit rumah.

"Sebanyak 472 projek di Sabah dan Sarawak akan diteruskan, manakala 178 projek baharu akan dilaksanakan tahun depan," katanya.

Ismail Sabri berkata, kementerian akan mewujudkan pasukan khas yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian untuk memantau semua projek yang dilaksanakan bagi memastikan ia tidak terbengkalai.

"Setiap dua bulan kita akan dapatkan maklum balas dari segi status projek yang dilaksanakan dan kita akan tengok perkembangannya.

"Selain itu, kita juga akan babitkan ketua kampung, kalau ada projek yang dilaksanakan di kawasan mereka, mereka akan memberi laporan status projek kepada pasukan khas ini, dari situ kita dapat kesan dari awal jika ada projek yang nak 'sakit' dan mengambil tindakan pencegahan segera,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 8:02 PM