SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalam dengan orang ramai selepas solat Jumaat dan menyempurnakan Majlis Perasmian Pemuliharaan Bangunan Masjid DiRaja Sultan Suleiman, Klang. Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. FOTO Roslin Mat Tahir
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan pembukaan semula Masjid Diraja Sultan Suleiman di Klang, hari ini.

Baginda tiba pada 12.45 tengah hari dan turut berangkat, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Baginda kemudian menyempurnakan Majlis Perasmian Pemuliharaan Bangunan Masjid Diraja Sultan Suleiman.

Baginda menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas kerjasama dan komitmen sehingga projek pemuliharaan masjid itu berjaya dilaksanakan.

"Beta merasakan adalah penting untuk senibina warisan ini dikekalkan terutama reka bentuk asal dalaman dan luaran bangunan masjid ini.

"Apatah lagi, masjid ini adalah sebahagian daripada sejarah penting Kesultanan Selangor dan ia dirasmikan Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah, Sultan Selangor ke-5," titah Baginda.

Baginda bertitah, pemuliharaan masjid itu adalah kali pertama dilakukan secara besar-besaran sejak dibina pada 1932.

"Beta berpuas hati dengan usaha yang dilakukan untuk mengekalkan ciri keunikan masjid ini. Walaupun ia sudah berusia lebih separuh abad, struktur bangunannya masih kukuh dan teguh.

"Beta berharap rakyat dapat menghargai keindahan masjid ini dan mengimarahkannya sebaik mungkin sebagai sebuah pusat pembangunaan ummah dan masyarakat setempat," titah baginda dalam satu kenyataan.

Masjid berkenaan ditutup sejak 10 Mac 2015 bagi tujuan kerja pemuliharaan dan konservasi sebelum siap 17 Oktober lalu membabitkan kos RM12 juta.

Sepanjang projek konservasi itu berjalan, beberapa proses penambahbaikan dilakukan antaranya cucian permukaan mural, rawatan pengukuhan mural serta mengecat beberapa bahagian masjid.

Bahagian yang terbabit ialah anjung kereta, ruang limpah tambahan, ruang solat utama, palung bercahaya dan tiang dalam.

Hasil projek berkenaan, 70 peratus lukisan mural yang diukir timbul di sekitar bangunan masjid selepas ia ditutup dengan salutan cat putih dan simen.

Masjid berkenaan direka khas oleh arkitek Leofric Kesteven sebelum diserahkan kepada Sultan Alaeddin Suleiman Shah pada 1933.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:01 PM