NORAZAM Khamis memeriksa barisan pegawai bomba bantuan selepas merasmikan majlis tamat latihan pegawai bomba bantuan jabatan bomba dan penyelamat  Negeri Sembilan di Balai penyelamat bomba Nilai. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


TIGA balai bomba kategori D yang dibina di kawasan pedalaman di Negeri Sembilan bakal siap pada hujung tahun ini dan awal tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, projek dianggarkan kira-kira RM2 juta itu dibina di Gemencheh, Rantau dan Seri Menanti.

Menurutnya, semua balai bomba berkenaan masih dalam pembinaan dengan balai Gemencheh dijangka siap Disember ini manakala dua lagi balai dijangka siap pada Februari depan.

"Balai bomba kategori D akan menempatkan pegawai bomba bantuan sebagai barisan hadapan untuk kerja memadamkan kebakaran dan menyelamat sebelum ketibaan pasukan bomba dari balai kategori A atau B. Mereka dilatih seperti anggota bomba sepenuh masa.

"Penempatan itu bagi membolehkan kerja menyelamat dapat dilakukan dengan cepat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu tiba di lokasi kurang dari tempoh 10 minit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, hari ini.

Menurut beliau, seramai 31 pegawai bomba bantuan berjaya menamatkan kursus berkenaan yang dijalankan selama 10 hari.

Daripada jumlah itu, katanya, 21 pegawai bomba bantuan terbabit akan ditempatkan di balai Gemencheh apabila siap kelak manakala selebihnya ditempatkan di Rembau, Tampin, Bahau, Jelebu dan Port Dickson.

Norazam berkata, setakat ini, pihaknya mempunyai seramai 135 pegawai bomba bantuan di seluruh negeri ini.

Sementara itu, beliau sudah mengarahkan semua balai bomba membuat persediaan menghadapi banjir terutama di kawasan yang sering dilanda banjir kilat iaitu Seremban, Kuala Pilah dan Air Kuning serta Gemas di Tampin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 3:11 PM