Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


DUA lelaki tempatan ditahan bersama ketamin seberat dua kilogram di Jalan Gunung Semanggol berdekatan Sentul pada 30 Oktober lalu.

Dalam serbuan dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul pada 2.50 petang itu, suspek berusia 41 dan 25 tahun ditahan di dalam sebuah kereta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek dipercayai menjadi orang tengah dalam sindiket pengedaran dadah jenis ketamin di Lembah Klang.

"Mereka dibayar RM5,000 untuk setiap transaksi yang berjaya dan dadah yang diberikan secara pukal itu akan dibungkus secara kecil-kecilan oleh pengedar jalanan.

"Dadah yang dirampas bernilai RM100,000 dan turut dirampas wang tunai RM2,000 yang berada dalam simpanan suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan berasingan pula, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama 150 paket kecil dadah jenis heroin di Jalan Wangsa Perdana, 9.30 malam tadi.

"Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, sejak Januari hingga 31 Oktober lalu, dadah bernilai RM7.73 juta dadah dirampas di sekitar Kuala Lumpur.

"Ini termasuk kejayaan menumpaskan 12 sindiket dadah dan penahanan 3,699 pengedar dadah besar-besaran selain 6,688 pengedar kecil-kecilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 2:45 PM
Mazlan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu sidang media mengenai prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur bagi tempoh kajian 1 Januari hingga 31 Oktober 2017 di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. FOTO Supian Ahmad