AZMI (lima dari kiri) ketika pelancaran SMILE sebagai langkah memantapkan lagi perkhidmatan pelanggan di Stesen LRT Putra Height.
HM Digital

Puchong: Tren empat gerabak KL Monorel dijangka kembali beroperasi pertengahan Disember ini selepas kerja mempertingkatkan ciri keselamatan selesai sejak operasinya dihentikan sementara Mei lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, ketika ini kerja penambahbaikan dijalankan dan dijadualkan selesai tidak lama lagi.

“Kita jangkakan tren empat gerabak ini akan kembali beroperasi seperti sedia kala menjelang pertengahan Disember ini dan amat memahami kesesakan yang dihadapi pengguna apabila hanya tren dua gerabak digunakan sekarang.

“Bagaimanapun, Prasarana tidak sesekali berkompromi dengan sebarang masalah berkaitan keselamatan penumpang sehingga keadaan dipastikan selamat untuk ia beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran kempen Senyuman Mesra, Ikhlas, Layanan Efisien (SMILE) bagi memantapkan kualiti perkhidmatannya di stesen transit aliran ringan (LRT) Putra Heights di sini, semalam.

Mengulas lanjut Azmi berkata, pendekatan kempen SMILE atau senyuman itu diharap mampu mewujudkan persekitaran ceria dan harmoni.

“Diharapkan, usaha ini juga dapat menaikkan imej syarikat sejajar dengan misi untuk menjadi penyedia perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.

“Sebagai permulaan, program ini menyasarkan tiga kumpulan utama iaitu Rapid Rail, Bas Rapid dan pasukan Polis Bantuan Prasarana,” katanya.

Tambah beliau, akademi Rel Rapid Rail dan Akademi Bas Rapid menjadi tenaga utama dalam menyediakan latihan kepada staf dan kakitangan Prasarana yang kini melebihi 10,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:49 AM