ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


Tampin: Seorang lelaki patah kedua-dua kaki selepas kereta dipandu terbabas akibat hilang kawalan lalu merempuh treler ketika cuba mengelak tayar di tengah jalan dalam kejadian di Jalan Tampin-Gemas, dekat Kampung Pondoi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi, mangsa M Siva, 35, memandu kereta Proton Wira dari arah Gemencheh ke Tampin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tampin Roslan Sahrani berkata, sebuah jentera bersama Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan lapan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 pagi.

Katanya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati lelaki itu tersepit di tempat duduk pemandu.

“Pihak bomba mengambil masa dua minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut. Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit cuba mengelak tayar di atas jalan sebelum merempuh sisi treler dari arah bertentangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:25 AM