BOMBA membantu mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. FOTO Ihsan Bomba
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ketika membantu membuka pintu yang terkunci dari dalam di rumah di Sri Aman 3, Pasir Puteh, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mayat lelaki berusia 52 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumah terbabit.

Mayat kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.

Difahamkan mangsa tinggal sendirian di rumah terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmy Mustofar berkata pada mulanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 11.25 pagi untuk membuka pintu rumah terbabit.

Katanya, sebaik menerima panggilan itu seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kita mengambil masa selama lima minit untuk mengumpil pintu rumah terbabit sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat itu di ruang tamu rumah terbabit.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 6:19 PM