Sebahagian pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Kampus Machang, Seri Iskandar, Perak dan Shah Alam melukis dan mewarna dinding sempena majlis pelancaran Projek Mural Grafiti yang dirasmikan Zamri di lorong belakang Jalan Ismail Hilir. FOTO FARIS ZAINULDIN
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


SERAMAI 88 penuntut Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dari tiga kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) iaitu Kampus Machang, Seri Iskandar, Perak dan Shah Alam menzahirkan kreativiti mereka dalam seni mural di lorong belakang Jalan Ismail Hilir, Kota Bharu.

Projek itu diusahakan secara kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), kerajaan negeri dan mendapat sumbangan syarikat cat, JOTUN.

Yang Dipertua MPKB-BRI Datuk Zamri Ismail berkata, kos keseluruhan Projek Mural Grafiti itu berjumlah RM59,000 dan mendapat sokongan pelbagai pihak.

"Sebelum ini, pihak kami sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan UiTM untuk menceriakan kawasan lorong belakang premis perniagaan dengan lukisan mural dan dalam masa sama untuk mengetengahkan bakat penuntut universiti itu dalam seni lukis.

"Dengan adanya lukisan mural pada dinding di lorong belakang sekitar Kota Bharu, ianya dapat menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara selain mengurangkan rasa takut dan janggal masyarakat untuk melalui lorong berkenaan.

"Sebelum ini dua projek lukisan mural dilakukan di Jalan Dato Pati yang dilukis oleh Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia dan belakang bangunan Hotel Ridel oleh badan bukan kerajaan (NGO)," katanya selepas Majlis Pelancaran Projek Mural Grafiti yang turut dihadiri Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Dr Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan, hari ini.

Sementara itu, Dr Tuan Mohd Rosli berkata, karya mural itu menampilkan empat tema iaitu permainan tradisional, busana, perayaaan dan makanan masyarakat Kelantan akan dimanfaatkan sepenuhnya penuntut UiTM atas kanvas dindin berkeluasan 1,900 meter persegi.

Katanya, gerak kerja itu bermula pada 15 Oktober lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini.

"Projek lukisan mural yang dilakukan kali ini adalah yang berskala besar kerana sebelum ini penuntut kami pernah menghasilkan lukisan mural Lorong Che Mek Molek di bandar Machang serta dataran keusahawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV," katanya.

Sementara itu, penuntut semester satu Diploma Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Machang, Mohd Shahrul Nizam Mohd Noor, 18, berkata, teruja dapat menyertai projek itu bersama rakannya yang lain.

"Walaupun lukisan mural ini masih belum siap sepenuhnya, namun saya tidak sabar untuk melihat keseluruhan hasil lukisan tiga dimensi (3D) nanti.

"Saya berterima kasih kepada MPKB-BRI kerana memberi peluang kepada anak muda melakar karya mereka yang akan menjadi tatapan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 5:22 PM