Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


BERIKUTAN tidak memakai topi keledar dan ada yang tidak berlesen, 38 penunggang serta pembonceng motosikal diarah berjalan sambil menolak motosikal masing-masing sejauh 7.5 kilometer dari Pasir Hor, Kota Bharu ke Balai Polis Kota Bharu, malam tadi.

Tindakan julung kali diambil itu sebagai sebahagian daripada bentuk hukuman yang mendidik mereka, rata-ratanya remaja berusia 12 tahun hingga 18 tahun supaya mematuhi peraturan jalan raya.

Mereka semua ditahan ketika operasi Ops Gempur Bersepadu dijalankan Polis Kelantan bermula 6 petang hingga 10 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, semua remaja terbabit diarah melakukan demikian apabila ditahan kerana tidak memakai topi keledar malah, ada yang tidak mempunyai lesen memandu.

"Untuk jarak sejauh itu, mereka menolak motosikal selama sejam setengah, malam tadi. Kita juga mengeluarkan saman kepada 43 pemilik motosikal terutama ibu bapa kerana membenarkan anak mereka menunggang secara haram.

"Ini termasuk anak yang masih di bawah umur. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengundang kecelakaan di jalan raya," katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, hari ini.

Din berkata, pihaknya tidak teragak-agak menggunakan kaedah sama dalam operasi berikutnya supaya kesalahan menunggang tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar tidak dianggap remeh.

Beliau berkata, turut ditahan dalam operasi itu adalah seorang lelaki berusia 28 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda C70 yang disyaki motosikal curi.

"Dalam operasi itu, sebanyak 95 peratus penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar. Jenis motosikal ditunggang pula ialah Honda dan Yamaha.

"Kesalahan lain, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan motosikal diubah suai," katanya yang memberitahu operasi dijalankan daripada semasa ke semasa khusus bagi membanteras lumba haram.

Beliau berkata, individu berusia 28 tahun yang ditahan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 5:04 PM
Antara remaja yang ditahan sebelum diarahkan menolak motosikal masing-masing. FOTO Ihsan PDRM