Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


PENAGIH dadah ditahan polis kerana disyaki mendera anak perempuannya berusia enam tahun, di Kuala Terengganu, semalam.

Mangsa yang cedera di bahagian belakang badan dipercayai akibat dipukul bapanya yang berusia dalam lingkungan 30an.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Bapa mangsa ditahan kira-kira jam 5 petang untuk siasatan lanjut. Hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Polis masih menanti laporan pegawai perubatan sama ada kecederaan dialami mangsa akibat dera atau bukan.

"Sekiranya kecederaan dialami mangsa disebabkan didera, polis akan membuka kertas siasatan dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, menerusi siasatan awal, mangsa dan abangnya yang berusia tujuh tahun tinggal bersama suspek dan dijaga secara bergilir-gilir oleh ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Sekati, Kuala Terengganu selepas lelaki berkenaan bercerai dengan isterinya.

"Mangsa dan abangnya dijadikan anak angkat oleh ahli J3K kampung berkenaan. Mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, selepas dihantar ahli J3K Kampung Sekati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 10:40 PM