Nguyen (depan, dua dari kiri) bersama awak-awak warga Vietnam yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


TEKONG bot warga Vietnam didenda RM40,000 di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini, atas kesalahan memasuki perairan negara tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa, Julai lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nguyen Tan Troung, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan 16 awak-awak warga Vietnam berusia 21 hingga 43 tahun terhadap pertuduhan berkenaan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Ahmad Bazli turut memerintahkan peralatan menangkap ikan, hasil lelong sotong kering dan diesel dilucut hak manakala bot diserahkan kepada pemilik.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasuki perairan Malaysia tanpa memberitahu pegawai berkuasa melalui radio, teleks dan faks di atas sebuah bot ikan di kedudukan 84.9 batu nautika dari daratan terhampir, Bachok pada jam 11.55 pagi, 20 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 dan dihukum di bawah Seksyen 25(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta membabitkan tuan punya bot dan nakhoda dan RM100,000 membabitkan kru jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Suhaimi Ismail yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira latar belakangnya.

"Saya mohon denda minimum kerana tertuduh masih lagi menyara keluarganya di Vietnam.

"Pada masa sama, saya mohon bot diserahkan kepada pemiliknya," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tertuduh membabitkan keselamatan negara.

"Saya turut mohon peralatan menangkap ikan dilucut hak dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah berhubung bot yang ditahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 1:11 PM