Enam pemancing bersama seorang tekong yang selamat ketika tiba di Jeti Kuala Sala.
Nur Syazwana Mansor
am@hmetro.com.my


Yan: “Alhamdulillah berkat doa ahli keluarga dan semua yang ada di sini, kami kembali dengan selamat ke sisi keluarga masing-masing,” kata pemancing, Muhd Salihin Ibrahim, 57, yang diselamatkan nelayan selepas 39 jam terperangkap di tengah laut akibat kerosakan enjin bot pada Ahad lalu.

Selain dia, lima rakannya Mohamad Ramli, 57, Mohd Nazri Abd Hamid, 47, Azmi Raif Mat Noh, 47, Jasri Daud, 48, dan Thai Kean Onn, 49, serta tekong bot Kharulanuar Arshad, 39, terpaksa bermalam di lautan sebelum diselamatkan oleh bot komuniti nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pelbagai agensi lain susulan laporan kehilangan mereka, kelmarin.

Semua mereka tiba di Jeti Kuala Sala jam 4.20 petang semalam dengan disambut tangisan kegembiraan ahli keluarga masing-masing yang berkampung di Jeti Kuala Sala di sini, sejak malam Ahad, sebaik mengetahui kehilangan mereka.

Muhd Salihin yang mewakili lima rakan berkata, mereka bertolak dari Jeti Kuala Sala pada jam 7.45 pagi Ahad selepas mencari umpan untuk memancing.

Katanya, bot disewa mereka bergerak ke kawasan tuas paling tengah untuk memancing sehingga jam 4.30 petang.

“Ketika itu kami lihat cuaca mula mendung, lantas mula mengangkat sauh dan tekong menghidupkan enjin laut untuk pulang semula ke jeti.

“Bot yang kami naiki bergerak sejauh dua kilometer dalam keadaan berangin ketika itu sebelum enjin bot tiba-tiba berhenti dan tidak boleh dihidupkan semula,” katanya.

Katanya, selepas beberapa kali percubaan menghidupkan enjin gagal, mereka melabuhkan semula sauh bagi menghalang bot daripada terus bergerak jauh.

“Bagaimanapun, keadaan angin timur yang kuat pada malam pertama kami di laut menyebabkan bot terus dihanyutkan ombak.

“Kami berada pada jarak 60 kilometer (km) dari jeti pada pagi semalam (kelmarin) dan hanyut lagi sehingga sejauh 88 km pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu pelbagai cara mereka lakukan bagi menghalang bot daripada terus hanyut.

“Kami gunakan semua benda yang ada untuk menahan bot daripada terus bergerak jauh dan pada masa sama tekong bot berusaha menghidupkan enjin bot yang rosak.

“Alhamdulillah selepas tiga kali percubaan, enjin bot itu dihidupkan semula dan jam 8.30 pagi tadi (semalam) kami meneruskan perjalanan pulang sehingga ke kawasan yang mempunyai isyarat komunikasi, lalu tekong menghubungi rakan nelayan untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, tekong bot, Kharulanuar Arshad, 39, berkata, dia menjalankan perkhidmatan bot memancing sejak lima tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh terbabit ini kali pertama dia ditimpa musibah sedemikian.

“Pada mulanya saya bimbang keselamatan penumpang yang lain namun lega apabila mereka masing-masing bertenang dan bekerjasama mencari jalan untuk bertahan.

“Kami cuba buat sebaik mungkin menyelamatkan diri daripada perkara yang tidak diingini dan syukur berkat doa semua orang kami pulang dengan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berterima kasih kepada semua agensi terbabit dalam operasi SAR iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti nelayan.

Beliau menasihatkan kepada pemancing memaklumkan kepada ahli keluarga masing-masing sebelum ke lokasi memancing bagi memudahkan usaha mencari dan menyelamat jika berlaku perkara tidak diingini.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana semua mereka ditemui selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 5:58 AM