Atlet karate negara, Lim Chee Wei (tengah) menunjukkan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sastera kepada Ibu bapanya, Lim Sang Moy, 61, (kanan) dan Lim Eng Hua, 68, pada Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-55 di Georgetown. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


BUKAN sahaja cemerlang dalam bidang sukan, atlet karate negara, Lim Chee Wei, 26,turut berjaya dalam bidang akademik apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera di Konvokesyen ke-55, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, atlet yang memenangi dua pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017), Ogos lalu berkata, dia hanya fokus di dalam kelas serta perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan latihan karate.

Katanya, selain dorongan keluarga, rakan sekelas banyak membantu terutama ketika dia tidak dapat hadir ke kuliah bagi menyertai pertandingan.

"Pernah sebulan saya tidak menghadiri kelas namun mereka membantu saya menyediakan nota dan tugasan selain belajar dalam kumpulan.

"Kini saya sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang sama bagi menjadi ahli sukan yang berjaya dalam kedua-dua lapangan," katanya yang berasal dari Jelutong, Georgetown.

Lim ditemui bersama bapa, Lim Eng Hua, 68 dan ibu, Hong Sang Moy, 61, dalam satu sidang media meraikan kejayaannya di USM, hari ini.

Mengulas lanjut, anak kepada penjaga stesen minyak dan pengasuh kanak-kanak itu kini sedang mempersiapkan diri dalam pusingan kelayakan untuk mara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Katanya, memikirkan cabaran bakal dihadapi, dia berharap supaya semua yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Selama enam tahun saya menghabiskan pengajian ini berikutan terpaksa menunda pengajian bagi menyertai pertandingan dan berharap pada peringkat Sarjana, saya dapat tamatkan pengajian mengikut perancangan.

"Kepada golongan muda, pilihlah bidang digemari dan berusahalah sehingga berjaya," katanya yang terbabit dalam sukan karate sejak berusia 10 tahun.

Selain menang pingat emas dalam Sukan SEA pada 2013 dan 2017, Limpernah memenangi pingat emas dalam Sukan Asia 2014 bagi kategori Tata-Individu.

Lim adalah antara 1,402 graduan yang menerima ijazah dalam bidang masing-masing sempena upacara konvokesyen berkenaan, yang disampaikan Pro Canselor, Tan Sri Mustafa Mansur.

Pada upacara yang bermula pada 28 Oktober lalu hingga 2 November depan itu, seramai 6,850 graduan daripada pelbagai aliran diraikan termasuk Ijazah Kehormat (1), Prof Emeritus (1), Ijazah Tinggi Doktor Falsafah dan Sarjana (2,043), Ijazah Sarjana Muda (4,759) dan Diploma Kejururawatan (48).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 10:35 PM