Kamalanathan (tengah) bersama pelajar serta guru SMK PAKA, Terengganu (kanan) dan SK Tanah Hitam, Perak.
Norhadiani Baharom
yanie@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Hitam, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) PAKA, Terengganu muncul juara Anugerah 3K (Kebersihan, Kesihatan, Keselamatan) pada majlis Anugerah 3K Drink Move Be Strong (DMBS) 2017 peringkat kebangsaan, semalam.

Kemenangan berkenaan membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai RM5,000, plak dan sijil penyertaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Pengetua SMK PAKA Rosmani Besar, melahirkan rasa bangga kerana sekolah dipimpinnya itu bukan saja muncul juara peringkat negeri tetapi juga pemenang hadiah pertama peringkat kebangsaan

“Ini penyertaan kali pertama kami di dalam program 3K. Selepas menempa kejayaan peringkat negeri kemudiannya dipilih pula sebagai juara keseluruhan peringkat kebangsaan, tentunya pencapaian ini sesuatu membanggakan.

“Program ini mengubah mentaliti pelajar yang sebelum ini kurang kesedaran kepada individu lebih bertanggungjawab mengenai kebersihan, kesihatan dan keselamatan diri. Menambah nilai kualiti insani dalam diri itu kejayaan terbaik,” katanya.

Sementara itu, P Kamalanathan dalam ucapannya ucapan berkata program 3K dan DMBS mampu menggalakkan generasi pemimpin masa hadapan berketerampilan, beridentiti nasional, berintelek, sekali gus menguasai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“Program dilaksana sejak 1991 ini inisiatif berkesan mencegah penularan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan pelajar, di samping meningkatkan kesedaran mereka berhubung pengambilan nutrisi seimbang serta kepentingan amalan gaya hidup sihat.

“Penganjuran acara itu jelas menunjukkan keseriusan kementerian menangani pelbagai isu membabitkan pelajar seperti peningkatan obesiti, pencegahan wabak seperti denggi serta kes berkaitan keselamatan termasuk gejala buli di sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi, aspek itu membantu membina persekitaran pembelajaran yang selamat dan sejahtera serta mampu mendorong minat pelajar merangkumi bidang akademik serta perkembangan karakter pelajar itu sendiri.

Beliau juga bangga kerana tahun ini pembabitan sekolah menengah dan rendah dalam acara 3K DMBS ini menunjukkan peningkatan empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan ini satu pencapaian utama dalam program ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:21 AM