Lee (dua kiri) menunjuk poster keselamatan dan kebersihan untuk sekolah tahfiz selepas Seminar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Sekolah Tahfiz 2017 di NIOSH, Bangi. Turut bersama Mohd Dailami (dua kanan), Timbalan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pinta Selangor), Mohd Edrus Ab Rahman (kanan) dan Zahrim. FOTO Rosela Ismail
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


BUKU garis panduan keselamatan di sekolah tahfiz akan diperkenalkan penghujung tahun ini sebagai rujukan kepada mereka yang terbabit dalam pengurusan sekolah itu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, buku itu adalah sebahagian daripada kempen kesedaran keselamatan tahfiz yang menjadi projek perintis mereka dan setakat ini pihaknya sedang bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pinta Selangor) bagi pelaksanaan buku itu.

"Pihak NIOSH dan Pinta Selangor sudah melakukan beberapa siri lawatan sejak awal Oktober di lima sekolah tahfiz di Selangor iaitu Darul Quran, Kuala Kubu Baru; Maahad Tahfiz Ummul, Sungai Buloh; Maahad Tahfiz Ummul Qura', Sabak Bernam; Maahad Tahfiz Nurul Huda, Shah Alam dan Akademi Tahfiz Al-Falah, Rawang bagi kajian mengenalpasti struktur bangunan, perkara bahaya dan bermasalah sebelum ia ditulis dalam buku garis panduan.

"Sekolah tahfiz bukan saja tempat belajar tetapi tempat kerja yang mempunyai bahaya dan risiko yang perlu diatasi. Adalah menjadi tanggungjawab mereka di tempat kerja, termasuk di sekolah tahfiz untuk mengenalpastinya dan mengambil langkah keselamatan mencegah kemalangan atau kematian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Sekolah Tahfiz (OSH For Tahfiz) peringkat negeri Selangor di ibu pejabat NIOSH Bangi, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pinta Selangor, Mohd Dailami Che Age dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman.

Seminar sehari anjuran NIOSH dengan kerjasama Pinta Selangor dihadiri 89 wakil sekolah atau institusi tahfiz seluruh Selangor dengan tujuan menyebarkan maklumat dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan tanggungjawab pekerja serta majikan mengatasi sebarang kemalangan.

Lee berkata, semua sekolah tahfiz digalakkan melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik dengan mengamalkan konsep mengenalpasti bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

"Sebab itu, NIOSH akan mengadakan kempen berterusan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan KKP dan cara melaksanakan HIRARC di semua sekolah tahfiz.

"Sememangnya, pengendali sekolah agama di negara ini perlu bekerjasama dengan NIOSH dan pihak berkuasa lain dalam meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan di premis masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 7:11 PM