GAMBAR yang dirakam menggunakan dron menunjukkan muara Sungai Sayong yang menjadi lokasi pertemuan Sungai Johor dan Sungai Linggi yang terjejas dengan pencemaran ammonia.
HM Digital

Johor Bahru: Kerajaan negeri mengarahkan operasi kilang memproses baja najis ayam dan ladang ayam telur di Layang Layang, Kluang yang dikenal pasti menyumbang kepada pencemaran ammonia di Sungai Johor ditutup.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mengikut maklumat diperoleh, syarikat berkenaan terletak satu kilometer dari kawasan pembebasan ammonia itu.

Menurutnya, kesalahan itu dipandang serius berikutan ia dipercayai dilakukan berulang kali yang menjejaskan bekalan air terawat kepada penduduk di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kejadian seumpama itu dan menggesa Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (BAKAJ) mengambil tindakan bersesuaian.

“Apa-apa yang boleh menyumbang kepada pencemaran Sungai Johor, tindakan drastik akan dilakukan dan langkah pencegahan diambil,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis 5A dan Majlis Perasmian Bootcamp eRezeki dan eUsahawan Parlimen Gelang Patah di Dewan Raya Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Gelang Patah, di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, keputusan untuk mengarahkan syarikat itu ditutup adalah hasil mesyuarat yang diadakan, semalam membabitkan pelbagai agensi termasuk BAKAJ, SAJ Ranhill Sdn Bhd, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kulai dan Pejabat Tanah Daerah Kulai.

Jumaat lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Semangar ditutup diikuti LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong menyebabkan bekalan air bersih terjejas di sekitar daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

Difahamkan, LRA Semangar dan LRA Sungai Johor sudah beroperasi sepenuhnya sejak tengah malam kelmarin manakala LRA Tai Hong pula beroperasi mulai malam semalam dan gangguan bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 9:35 AM