Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


POLIS dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU) menggempur mat rempit di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) melalui Op Lejang, malam tadi.

Operasi 10 jam bermula 9 malam itu membabitkan 11 pegawai dan 61 anggota serta dua penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Prai.

Sebanyak 210 motosikal diperiksa dan 21 disita kerana pelbagai kesalahan.

Ketua Polis SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang turut menyertai operasi itu berkata, 185 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu dan ubah suai ekzos.

Katanya, seorang lelaki turut ditahan kerana memiliki motosikal curi dan seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara bahaya.

“LLB dikenali sebagai 'port' mat rempit di SPU, terutama pada hujung minggu. Operasi ini bagi membendung kegiatan berkenaan serta jenayah lain.

"Kami akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan mat rempit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 3:43 PM
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (gambar kiri - kanan) bersama anggotanya memeriksa penunggang dalam Op Lejang di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi. - Foto AMIR IRSYAD OMAR