Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


PREMIS menternak ayam dan memproses baja tahi ayam yang beroperasi tanpa kelulusan dikenal pasti punca pencemaran ammonia di Sungai Johor yang menjejaskan tiga Loji Rawatan Air (LRA) di Kota Tinggi dan Kulai, Johor sejak kelmarin.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, premis yang beroperasi di tebing Sungai Sayong, Kulai itu turut bertanggungjawab ke atas pencemaran Sungai Johor pada Julai tahun lalu menyebabkan 600,000 penduduk terjejas.

Katanya, JAS Johor mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa kelulusan pihaknya dan juga dari Pejabat Tanah Daerah Kulai serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor.

"JAS Johor sebelum ini tidak meluluskan permohonan Penilaian Awal Tapak (PAT) kilang berkenaan untuk meneriskan operasi di kawasan berkenaan dan mengarahkan ia dipindahkan ke lokasi lain, namun tidak diendahkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Mohammad Ezanni berkata, susulan kes pencemaran ammonia di Sungai Johor pada Julai tahun lalu, satu mesyuarat dengan semua agensi dan pihak berkaitan diadakan dan bersetuju untuk memindahkan premis berkenaan ke lokasi lain.

Katanya lagi, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pihaknya sebelum ini, premis ternakan ayam dan memproses baja tahi ayam itu tidak mengamalkan aspek penyimpanan yang sesuai terhadap baja yang dihasilkan.

"Baja dari tahi ayam itu terdedah kepada cuaca dan apabila hujan, ia meresap ke dalam tanah dan masuk ke dalam sungai menyebabkan berlaku pencemaran ammonia," katanya.

Semalam, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong terpaksa dihentikan menyebabkan keseluruhan akaun pengguna air terjejas sebanyak 360,000, membabitkan hampir dua juta penduduk.

Bagaimanapun, Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill, Jamaluddin Jamal dalam kenyataan media berkata, bekalan air dipulihkan secara berperingkat hari ini.

Berita berkaitan

Tolonglah buat kerja!

Masih siasat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 2:08 PM