Suspek ditahan penduduk sebelum diserahkan kepada polis. FOTO ihsan Info RB Terengganu
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


CUBAAN dua penjenayah termasuk budak berusia 11 tahun mencuri duit tabung di sebuah masjid di Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam, gagal apabila ditahan penduduk.

Budak lelaki bersama rakan jenayahnya berusia 21 tahun dicekup beberapa penduduk kampung pada 2 pagi ketika asyik mengait duit di dalam tabung menggunakan sebatang dawai.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kehadiran Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan berhampiran tandas wanita di masjid disedari seorang lelaki berusia 44 tahun.

Beliau berkata, lelaki terbabit bersama beberapa penduduk ke masjid untuk membuat intipan sebelum ternampak dua lelaki sedang mengait duit di dalam tabung menggunakan dawai.

"Penduduk kampung kemudian bertindak menahan dua suspek yang berada di tempat solat wanita sebelum pemeriksaan menemui wang sebanyak RM46 dalam lipatan kaki seluar seorang suspek.

"Hasil soal siasat, dua suspek mengaku mencurinya daripada tabung masjid dan suspek juga cuba melarikan diri namun gagal sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Idris berkata, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dengan suspek berusia 21 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan kes curi.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 2:01 PM