DARI kiri, Chan, Nur Syahirah, Thong, Wan Muhammad Abdul Muhaimin dan Mohamad Shafiq diraikan dalam satu sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen USM ke-55 USM.
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my

Georgetown: Anak kepada seorang tukang cat di Slim River, Perak, terharu apabila dipilih sebagai penerima Hadiah Pingat Emas Canselor pada Upacara Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM), bermula hari ini.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Ilmu Pendidikan itu membuktikan kekangan kewangan bukan alasan bagi seseorang itu untuk menuntut ilmu dan berjaya dalam pelajaran.

Thong See Wai, 23, berkata, ketika menjejakkan kaki ke USM, dia sudah berazam mahu mengubah nasib keluarga lantaran kehidupan mereka yang serba kekurangan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, sepanjang pengajian, dia turut bekerja sembilan sebagai tutor kepada pelajar sekolah dengan bayaran RM20 sejam dan dia perlu membahagikan masa supaya pelajarannya tidak terjejas dan pada masa sama, mengurangkan beban kewangan ditanggung bapanya.

“Saya bercita-cita mahu menjadi pendidik dan merancang untuk meneroka alam pekerjaan dahulu, malah akan menyambung pengajian dalam bidang tertinggi apabila berpeluang nanti.

“Walaupun ayah tidak dapat hadir bagi meraikan upacara ini kerana tidak mempunyai wang, saya tahu doa ayah sentiasa mengiringi kejayaan saya,” katanya yang ditemui ketika diraikan dalam sidang media khas bersama Naib Canselor, Prof Datuk Dr Asma Ismail di USM, semalam.

Turut diraikan, penerima Anugerah Pelajar Terbaik kategori Bukan Bumiputera Chan Fung Han (ijazah Sarjana Muda Pengurusan), Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-Raja Malaysia Nur Syahirah Ahmad Bastari (Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan), Hadiah Pingat Emas Bagi Pelajar Kurang Upaya Wan Muhammad Abdul Muhaimin Ab Wahab (Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan) dan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor Mohamad Shafiq Kamaruddin.

Sementara itu, Wan Muhammad Abdul Muhaimin, 24, berkata dia berasa puas apabila dapat membuktikan kejayaannya walaupun dalam keadaan cacat penglihatan kedua-dua mata sejak kecil.

Katanya, walaupun pada awalnya tidak yakin dapat meneruskan pengajian terbabit, dorongan keluarga dan warga kampus membuatkan dia berasa selesa dan mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran

“Sebenarnya sukar hendak menyesuaikan diri terutama bagi mencari rakan baru di sini kerana bimbang jika mereka tidak dapat menerima kekurangan saya, namun sebaliknya apabila ramai yang sudi membantu terutama dalam pelajaran.

“Saya adalah anak kelapan daripada 13 beradik, abang keenam turut cacat penglihatan dan pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di USM enam tahun lalu dan dialah idola saya,” katanya.

Kejayaan Wan Muhammad Abdul Muhaimin turut diraikan bersama ibu, Wan Zakiah Wan Hassan, 58, dan adiknya, Wan Atiyyah, 23.

Pada upacara konvokesyen bermula hari ini hingga 2 November depan, seramai 6,850 graduan daripada pelbagai aliran diraikan termasuk Ijazah Kehormat (1), Prof Emeritus (1), Ijazah Tinggi Doktor Falsafah dan Sarjana (2,043), Ijazah Sarjana Muda (4,759) dan Diploma Kejururawatan (48).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:41 PM