Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menyampaikan ijazah Doktor Falsafah kepada Shahkila Mohd Arif pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-59 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menzahirkan rasa dukacita atas tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bulan lalu yang berpunca daripada perbuatan khianat dan menyeru semua pihak saling bekerjasama dalam memantau pergerakan anak muda masa kini.

Raja Zarith Sofiah bertitah, perkara yang dikhuatiri daripada kejadian itu ialah ia perbuatan remaja bawah umur yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

"Saya dan Sultan Ibrahim dukacita atas peristiwa yang berlaku di negara kita baru-baru ini, iaitu seramai 21 pelajar tahfiz dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban akibat kebakaran yang dipercayai angkara khianat.

“Saya menyeru agar semua pihak saling bekerjasama dalam memantau pergerakan anak-anak muda remaja masa kini.

"Golongan berkenaan masih mentah amat mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang tidak bermoral ini dan harus dipantau," titah baginda.

Permaisuri Johor yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah demikian dalam upacara pembukaan Istiadat Konvokesyen UTM Ke-59 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai, hari ini.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 5,402 graduan menerima pelbagai penganugerahan iaitu 394 ijazah Doktor Falsafah (PhD), ijazah sarjana (906), ijazah sarjana muda (2,505), diploma (558) serta ijazah sarjana muda (1,039) dan diploma daripada program kerjasama UTMSpace.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:07 PM