Mohd Gunawan
HM Digital

Kuala Lumpur: Komuniti tahfiz berpandangan peruntukan Bajet 2018 satu peningkatan kepada pengiktirafan terhadap pendidikan tahfiz di negara ini, sekali gus meningkatkan lagi syiar Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Malah, pembentangan bajet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam, yang menyentuh pengurusan sekolah tahfiz disifatkan sesuai dengan tema Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50.

Penasihat 1 Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) Mohd Gunawan Che Abdul Aziz berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan peruntukan dana dan komitmen yang dizahirkan melalui cadangan bajet ini.

“Sudah tentu kita semua bersetuju, isu keselamatan dan nyawa mengatasi isu teknikal yang lain. Maka peruntukan ini, sememangnya kena tepat pada masanya.

“Malah, ini yang sudah diminta oleh PINTA daripada pihak kerajaan. PINTA mencadangkan perkara ini melalui surat yang dihantar terus September lalu kepada Perdana Menteri.

“Terima kasih kerana memberi perhatian kepada cadangan kami ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Gunawan mengulas Bajet 2018 apabila Najib dalam ucapan pembentangan berkata, RM50 juta diperuntukkan demi memartabatkan syiar Islam dan pengutuhan jati insan khususnya pengurusan sekolah tahfiz.

Perdana Menteri berkata, peruntukan RM50 juta itu juga membolehkan GiatMara membaik pulih serta menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara.

“Selain itu, bagi melatih pelajar sekolah tahfiz supaya lebih berkemahiran, Skim Latihan Kemahiran GiatMara akan diperkenalkan,” kata Najib dalam petikan pembentangan Bajet 2018, semalam.

Berkenaan Skim Latihan Kemahiran GiatMara itu pula, Mohd Gunawan berkata, kemahiran aset sangat berharga dan skim itu akan mengukuhkan keupayaan kendiri kalangan huffaz sebagai sebahagian sumber manusia atau sumber daya insani negara.

“Apa pun, sekarang yang lebih penting bagaimana kita mahu memastikan pelaksanaan peruntukan dan inisiatif itu akan benar-benar mencapai objektifnya dan mampu memperkasakan lagi pendidikan tahfiz di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:55 AM